1.0 PENDAHULUAN
Tahap kesedaran sivik di kalangan rakyat Malaysia masih belum
boleh dibanggakan lagi. Salah satu cara untuk melihat tahap kesedaran sivik dan
kewarganegaraan di kalangan rakyat Malaysia adalah melalui kempen-kempen alam
sekitar, perpaduan dan kesihatan. Salah satu kempen yang masih di tahap
permulaan adalah kempen Hari Tanpa Beg
Plastik. Selangor adalah negeri pertama yang akan mengadakan Kempen Hari
Tanpa Beg Plastik di Malaysia. Kempen ini akan dilaksanakan mengikut peringkat yang dirangka memakan
masa selama dua tahun. Sehubungan dengan itu, peringkat yang pertama adalah
dengan melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Sabtu akan bermula
pada tahun awal Tahun 2010. Setelah pelaksanaan kempen dilaksanakan selama 6
bulan, pihak Kerajaan Negeri Selangor bersama pengusaha-pengusaha akan
menjalankan pemantauan bagi mengenalpasti impak daripada kempen tersebut.
Sekiranya kempen ini membawa kepada satu impak yang positif, perlaksanaan
peringkat kedua diteruskan dengan melanjutkan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik’
kepada hari-hari biasa. Apapun, tujuan kempen ini adalah untuk mencapai
objektif-objektif mengurangkan penggunaan beg plastik di kalangan masyarakat
Malaysia dan untuk mempertingkatkan kesedaran pengguna awam terhadap
impak-impak negatif penggunaan beg plastik.
Beberapa
artikel lagi mengenai Kempen ini telah dimuat turun sebagai isu/skop yang akan
saya bincangkan.
|
|
|
2.0 KESEDARAN
SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN MELALUI KEMPEN
(a) Perspektif
diri : Kesedaran Jumlah Penggunaan Beg Plastik
Saya telah memilih isu/skop kepenggunaan
dan alam sekitar iaitu Hari Tanpa Beg Plastik.
Pertama kali mendengar isu ini dihebahkan melalui corong-corong radio, saya
meragui keberkesanannya tetapi sangat menyokong usaha badan-badan dan persatuan
yang mewujudkannya. Semasa saya membaca artikel ini di akhbar Berita Harian dan
Utusan Malaysia, secara tidak langsung ia menimbulkan kesedaran tentang jumlah
penggunaan beg plastik yang saya gunakan setiap hari. Kempen ini telah
dihebahkan ke seluruh negara bermula di negari Selangor hinggalah ke Sabah.
Walau bagaimanapun, saya hanya mendengar pelaksanaan kempen ini hanya bermula
dua bulan yang lalu melalui hebahan radio. Apa yang dapat dikongsikan pada masa
itu ialah kesedaran tentang menyokong
kempen hari tanpa beg plastik hilang apabila menjelangnya musim Hari Raya
Puasa. Sehinggakan semasa membeli-belah di sebuah pasaraya, saya terkejut
apabila jurujual meminta saya memasukkan sejumlah wang sebagai bayaran beg
plastik yang digunakan. Barulah saya sedar dan megetahui bahawa Kempen Hari Tanpa Plastik di Sabah
diadakan pada setiap hari Isnin.
Hati
saya tersentuh apabila membaca artikel akhbar berita harian online tentang dua
adik-beradik yang memperjuangkan kesan penggunaan beg plastic dengan
menghasilkan sebuah buku kanak-kanak bertajuk Inspirasi ‘Billy The
Plastic Beg’. Apabila kejadian seperti itu berlaku kepada penduduk
yang tinggal berhampiran bandar, bagaimana pula dengan penduduk luar bandar? Adakah
kempen ini hanya dilaksanakan di bandar-bandar dan gedung membeli-belah ataupun
hebahan dan kempen turut dilaksanakan di kampung-kampung pedalaman juga?
(b) Pandangan
Masyarakat Dan Negara Luar
Bagi
dunia luar, melihat iklan atau papan tanda Hari
Tanpa Beg Plastik di Malaysia adalah sesuatu yang boleh dipuji. Ia
menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang prihatin terhadap alam
sekitar dan kesihatan penduduknya. Usaha badan-badan dan persatuan yang
mewujudkan kempen ini sepatutnya mendapat galakan dan sokongan padu daripada
rakyat Malaysia. Namun, berjayakah kempen ini menunjukkan hasil yang
diharapkan?
Adakah
pengguna memahami konsep tentang kempen hari tanpa beg plastik?
Adakah
pengguna hanya tidak gunakan plastik pada hari tersebut tetapi tetap mengamalkan
praktis yang tidak lestari?
Selama
kempen ini dilancarkan dan dilaksanakan mengikut negeri, pelbagai laman blog
telah dibina oleh ramai pencinta alam sekitar yang seterusnya penyokong program
ini. Kesedaran sivik itu muncul apabila mengetahui kesan-kesannya pada
jangkamasa yang panjang. Antara laman blog yang mewujudkan artikel atau
pendapat tentang Kempen Hari Tanpa Plastik adalah seperti :
(c) Impak
Mengikut Peredaran Masa Dan Budaya
Setiap negeri mengadakan hari tanpa plastik
pada hari yang berbeza contohnya di Selangor yang diadakan pada hari Sabtu dan
di Sabah setiap hari Isnin. Sejak ia berlangsung, kita sudah pun mendengar
maklumbalas yang positif, mahupun yang negatif. Pada
tahun 50an, penggunaan beg plastik agak sedikit kerana biasanya penduduk
kampung lebih suka membawa bakul yang diperbuat daripada rotan dan bambu
apabila pergi ke tamu. Penduduk lebih kreatif mencipta tempat barang sendiri
dan biasanya mereka membuatnya kerana mempunyai masa lapang di rumah.
Pada
waktu itu, penggunaan beg plastik amat sedikit jika dibandingkan sekarang yang
semakin meningkat dari tahun ke tahun dan telah menjadi antara penyumbang utama
kepada pencemaran alam sekitar. Ini mungkin disebabkan kepesatan ekonomi dan
kekangan kerja yang sangat mementingkan menyebabkan rakyat atau pengguna
seringkali bergegas untuk ke pasar tamu atau supermarket tanpa memikirkan
perlunya bakul rotan membeli-belah. Dengan
mengurangkan penggunaan plastik, bukan sahaja menolong menentang kesan
perubahan iklim, tetapi menyumbangkan kepada kesihatan pengguna.
Walaupun tiada kajian jangka masa panjang
yang menunjukkan kebahayaan plastik dan bahan yang dibuat daripada plastik,
tetapi kita perlu memahami bahawa plastik adalah dibuat oleh bahan kimia, dan
tiada sesiapa yang akan menjamin unsur bahan kimia ini tidak akan meresap
keluar, dan ini mungkin satu punca bagi penyakit kronik yang tidak diketahui.
(d) Kesedaran
Individu Dan Masyarakat Luar Bandar
Kerajaan
memainkan peranan yang penting dalam promosi kempen hari tanpa beg plastik, dan
perlu menegaskan kepada komuniti yang sentiasa dipinggirkan. Tidak mustahil jika masih
ada masyarakat luar bandar yang tidak mengetahui tentang pelaksanaan kempen
ini. Mereka yang berada di
kawasan pendalaman yang sebenarnya memerlukan lebih perhatian telah
dipinggirkan oleh kita. Masyarakat luar bandar sebenarnya bukan tidak mempunyai
kesedaran sivik tetapi mereka sebenarnya kurang didedahkan dengan isu semasa. Mereka
yang tidak mengetahui konsep hari tanpa beg plastik ini merasakan hari tanpa
beg plastik menjadi beban dalam kehidupan harian. Kempen hari tanpa beg plastik sepatutnya dilaksanakan di
seluruh negara dan seluruh tempat, bukan setakat di peringkat negeri dan Bandar
sahaja. Jika tidak, orang ramai akan keliru tentang kempen ini dan akhirnya
tidak membawa manfaat kepada bumi kita, kerana mereka yang tidak ketahui akan
terus menggunakan beg plastik tanpa had.
(e) Peranan dan Tanggungjawab Membantu Negara
2.1 KESAN PENGGUNAAN
PLASTIK
Pada zaman sekarang, antarabahan
yang paling banyak dan selalu digunakan oleh manusia dalam kehidupan seharian
mereka adalah barang yang diperbuat daripada plastik. Lihat sendiri perkakas di
dalam rumah, bermula daripada dapur, bilik air hinggalah ke kawasan ruang tamu
dan halaman di luar rumah, hampir kebanyakannya dihasilkan daripada plastik
kerana ia adalah bahan yang murah lagi mudah digunakan. Namun, di sebalik dua
keistimewaan plastik itu, tersembunyi ancaman yang kita tidak ketahui. Contoh
yang paling mudah, iaitu botol air mineral.
Selain daripada ringan, senang dibawa ke
mana-mana dan mudah digunakan dengan berulang kali, ianya juga akan menjimatkan
wang para pengguna apatah lagi di kala kemelesetan ekonomi sekarang, jalan
mudah untuk penjimatan adalah menggunakan botol ini berulang kali. Keadaan ini telah menyebabkan
penggunaan beg plastik secara besar-besaran di merata-rata. Oleh yang demikian,
keadaan pencemaran beg plastik ataupun dikenali sebagai pencemaran putih (white pollution)
semakin serius pada hari ini.
Meskipun amalan mengelakkan pembaziran
adalah perkara yang dituntut oleh Islam, tetapi adakah kita mengetahui akan
kesan buruk seandainya kita suka menggunakan botol air mineral ini secara kerap
untuk suatu tempoh masa yang lama? Hal ini adalah kerana botol air mineral
diperbuat daripada Polyethylene Terephtalate atau lebih sinonim dengan
singkatan PET. Bahan ini mempunyai beberapa kekurangan yang boleh memudharatkan
kesihatan pengguna apabila digunakan dengan berulang kali, terutama sekali jika
terdedah kepada suhu panas. Menurut sejarah, ia digunakan dalam industri
pembuatan botol minuman secara meluas selepas dipatenkan pada tahun 1973.
Berdasarkan
kepada isu/skop tentang kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar dan
kesihatan penduduk Malaysia, saya berasa isu ini perlu diperluaskan dan dihebahkan
setiap hari agar masyarakat tidak lupa tentang kempen yang dilaksanakan. Isu
ini sangat memberi faedah dan pengetahuan terutama kepada golongan pelajar,
penduduk luar Bandar dan kanak-kanak yang boleh dilatih daripada kecil lagi
untuk mengelakkan penggunaan beg plastik.
3.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN MENGATASI ISU BERSAMA
Tujuan kempen adalah bagi mengalakkan budaya
kitar-semula dan mendidik masyarakat mengurangkan penggunaan beg plastik
sekaligus mengurangkan pencemaran putih atau white pollution. Kempen yang diperkenalkan sangat baik dan
bertepatan dengan masalah yang dihadapi seluruh dunia iaitu pencemaran sampah
dan plastik. Namun, berjayakah kempen ini setelah 10 bulan dilancarkan? Dimana
kesilapan pihak terlibat jika kempen ini tidak berjaya memenuhi objektifnya.
Sebagai pengguna dan rakyat yang mempunyai
kesedaran sivik yang tinggi, sedikit cadangan mungkin dapat memberi banyak
impak terhadap kempen yang belum menampakkan hasil ini. Antara cadangan sebagai
usaha penambahbaikan program ialah :
(i) Memperkenalkan Beg
Kertas Menggantikan Beg Plastik
Ambil contoh negara maju
seperti Jepun, Britain or Amerika Syarikat, mereka jarang menggunakan Beg
Plastik setiap kali membeli belah. Kebanyakan mereka lebih gemar menggunakan
beg kertas yang lebih mesra alam kerana mudah lupus secara semulajadi dan tidak
memberi kesan yang besar sekiranya dibakar. Kerajaan mereka juga menggalakkan
pasaraya dan pengguna menggunakan beg kertas dari menggunakan beg plastik.
Masyarakat tidak boleh mengambil langkah mudah dan memandang sebelah mata
penggunaan beg kertas ini kerana apabila beg kertas dicipta ia bukan sahaja
dapat memberi peluang pekerjaan kepada pengusaha malah memberi peluang kepada
anak-anak kecil untuk menjadi kreatif dengan mencipta beg kertas sendiri
melalui aktiviti bilik darjah. Kertas mudah dicari malah lebih selamat
berbanding plastik yang boleh membahayakan jika tidak mendapat pengawasan
dewasa.
(ii) Tanggungjawab Pasaraya Menyediakan Beg Kertas
Langkah permulaan penggunaan beg kertas
mungkin boleh bermula daripada pasaraya-pasaraya terkemuka seperti Giant,
Servay, Tesco dan sebagainya. Pada permulaan penggunaan, pembeli mungkin berasa
janggal dan kurang menerima penggunaannya namun apabila pihak pengurusan
meneruskan penggunaan, sudah pasti lama-kelamaan pembeli akan terbiasa dan
menerima penggunaan beg kertas. Malah mengangkat barang-barang yang banyak
bukan lagi menjadi isu pada masa sekarang kerana kebanyakan pasaraya
menyediakan perkhidmatan troli yang boleh dibawa sehingga ke pintu kereta. Hanya
segelintir akan mengalami masalah mengangkat barang tetapi jika tidak dimulakan
daripada sekarang, kempen ini tidak akan terlaksana sampai bila-bila.
(iii) Menyediakan Blog Aduan Dan Maklumat Daripada
Semasa Ke Semasa
Masyarakat kita pada masa sekarang masih mempunyai kesedaran sivik yang
tinggi. Contoh yang paling ketara adalah pembinaan laman-laman blog oleh
individu, persatuan, jabatan dan sekolah yang banyak menyediakan rencana, aduan,
artikel tentang Kempen Hari Tanpa Plastik ini. Dengan adanya laman-laman blog
seperti itu, pengguna internet dan pelajar sekolah mudah untuk mendapatkan
maklumat dan berkongsi pendapat tentang kempen yang dilaksanakan.
Pada
pendapat saya, sekiranya laman web khusus dibina untuk kempen ini dilaksanakan,
ia akan member peluang kepada masyarakat membuat aduan pencemaran, berkongsi
pengalaman menggunakan beg kertas dan untuk memberi komen tentang keberkesanan
setiap aktiviti yang dirancang.
(iv)
Memberi Ganjaran Terhadap Individu,
Sekolah Dan Jabatan Yang
Berusaha Menjayakan kempen
Dengan Jayanya.
Sesuatu kempen tidak akan dapat
berjaya dan seterusnya memberi kesedaran sivik kepada masyarakat jika tidak ada
pihak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Seperti SM St
Michael Penampang yang telah berjaya melaksanakan kempen Tanpa Beg Plastik di
Sekolah sepatutnya diberikan pujian dan ganjaran setimpal dengan usaha yang
dibuat. Sudah menjadi adat dan budaya di Malaysia, sesuatu perancangan itu
hanya akan diteladani apabila ada pihak yang sudah menunjukkan hasil dan diberi
ganjaran.
4.0
REFLEKSI
Sebelum saya mengumpul
maklumat untuk mengenalpasti isu/skop yang dipilih, saya sebenarnya masih
merasai keraguan mengenai kempen Hari Tanpa Beg Plastik ini. Ini mungkin
disebabkan saya kurang pengetahuan tentang kesan-kesan penggunaan plastik
kepada kesihatan, kebersihan dan persepsi luar. Setelah membaca beberapa
artikel dan blog persendirian tentang kempen yang diusahakan ini, timbul
kesedaran pada diri saya bahawa kempen ini adalah kempen yang sepatutnya
diwujudkan 10 tahun lalu. Memandangkan kepesatan ekonomi dan kekangan masa
bekerja, kebanyakan daripada kita lupa akan tanggungjawab terhadap masyarakat
dan negara yang mana tidak menimbulkan kesedaran sivik seperti yang sepatutnya
kita semua patut ada.
Semasa mencari maklumat di internet
dan beberapa bahan bacaan, barulah saya sedar bahawa kesedaran sivik masyarakat
dahulu dan sekarang banyak perbezaannya. Masyarakat lalu mementingkan
kebersihan, penjimatan dan usaha untuk memperbaiki keadaan tetapi pada masa
sekarang masyarakat lebih menumpukan peranan sebagai seorang pekerja yang sibuk
dengan tugas masing-masing.
Walau bagaimanapun,
tidak semua masyarakat sekarang ini yang tidak mempunyai kesedaran sivik
langsung. Dengan usaha banyak pihak, masih ramai yang mempunyai kesedaran untuk
menjayakan kempen hari tanpa beg plastik dengan berleluasanya maklumat dan
acara dihebahkan di laman web dan internet. Masyarakat bandar lebih peka dan
tahu akan kesan pencemaran putih ini berbanding luar bandar. Dengan menyokong
kempen ini, secara tidak langsung kita menyokong usaha negara dan berusaha
menjadi warga yang baik dan bertanggungjawab. Kesimpulannya, tahap kesedaran
sivik masyarakat Malaysia masih boleh dipertingkatkan jika kempen-kempen dan
usaha berterusan pihak terlibat tidak hanya sekadar kempen bermusim tetapi
dengan semangat dan sokongan padu daripada masyarakat dan golongan pentadbir.
Bagus!
ReplyDelete